Saturday, April 30, 2016

“Kenapa Saya Tidak Menjadi Seorang Jutawan”




Jelas sungguh kuman di sana,
Terkabur pula gajah di sini,
Masalah timbul sebelum mencuba,
Sesal rezeki mengalir sepi.

Jangan Jadi Seorang Yang Melihat Tetapi …TIdak Nampak

Dalam tahun 1982 sewaktu masih berkerja sebagai pegawai opersi di sebuah bank perdagangan, saya mendengar kisah menarik yang diceritakan oleh seorang wanita yang merupakan pelanggan bank tempat saya bekerja di Rawang. Kisahnya mengenai kejayaan anak angkatnya seorang pendatang Indonesia bernama Giman. Pada mulanya, Giman bekerja sebagai buruh am di sebuah ladang ternakan ayam telur di Rawang, Selangor yang kemudiannya diberi kepercayaan untuk melupuskan ‘Ayam Pencen’ dari ladang tersebut.

Ladang tersebut sangat besar sehingga kerja-kerja untuk memindahkan atau melupuskan ayam telur yang sudah tidak produktif menjadi kerja besar. Ayam-ayam itu dihantar oleh Giman kepada para peniaga ayam runcit di pasar basah, pasar malam dan pasar lambak yang dikenali oleh Giman. Bila usaha tersebut menghasilkan pulangan yang lumayan, lantas Giman berhenti kerja. Giman memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan ‘membekalkan ayam pencen’ bukan sahaja dari ladang tempat beliau bekerja bahkan juga dari ladang-ladang ternakan lain.

Usaha tersebut semakin berkembang sehingga beliau Berjaya membeli dua buah lori ‘pick up’ dan menggajikan beberapa orang pekerja. Pelanggannya pula semakin bertambah dari hari ke hari. Mereka datang dari sekitar Lembah Klang dan Hulu Langat sehinggalah dari utara negeri Selangor.

Giman di pendatang terus mendaki tangga-tangga kejayaan. Tidak lama kemudian beliau diberi kepercayaan pula oleh ladang ternakan tersebut untuk membekalkan telur ke seluruh negeri Selangor.

Cerita kejayaan pendatang tersebut begitu mengagumkan dan menarik perhatian saya sehingga saya setuju menerima pelawaan wanita tersebut untuk bertandang ke rumahnya – khusus untuk mendengar kisah kejayaan GIman.

Di rumah wanita tersebut, saya ditunjukkan beberapa album foto yang dipenuhi dnegan majlis perkahwinan Giman dengan anak saudara wanita itu. Antara demikian banyak gambar yang saya lihat, ada satu foto yang buat saya terpegun iaitu gambar Giman di sisi kereta BMW barunya.

Pada peringkat tersebut saya mulai menyoal diri saya sendiri– kenapakah Giman Si Pendatang itu mampu mencapai kehebatan dalam kehidupan berbanding saya yang seorang siswazah universiti, warganegara Malaysia, pribumi dan juga pegawai bank tetapi hanya mampu memiliki sebuah kereta Galant Sigma terpakai?

Tidak lama selepas itu, kisah kejayaan Giman Di Pendatang itu pun hilang daripada pemikiran saya. Saya tidak berusaha untuk mencari jawapannya. Saya terlalu sibuk dengan tugas-tugas harian. Satu-satunya harapan besar saya waktu itu ialah saya akan dinaikkan pangkat kepada penolong pengurus, kemudian kepada pengurus cawangn kemudian naik lagi dan naik lagi sehingglah pencen, itu sahaja impian saya. Nampaknya saya semakin selesa dengan rutin hidup seharian.

Namun dalam tahun 1986, saya sendiri secara kebetulannya menemui satu cerita yang lebih menarik daripada kisah si Giman tadi… Kisah pendatang dari Indonesia bernama Diyono Santoso.

Beliau adalah seorang pelanggan bank di mana saya bertugas. Diyono bercerita samil berseloroh;

“Orang lain datang ke Malaysia sebagai turis datangnya naik pesawat.. turunnya kaki dulu..Pak!”

“Tapi saya sebagai pendatang haram, datangnya naik perahu…turunnya kepala dulu..Pak!”

“Kenapa?” Tanya saya.

“Bapak tahu? Perahu yang membawa pendatang enggak pernah rapat ke daratan. Selalu sampainya waktu subuh. Jurangannya melilhat-lihat dari jauh. Sekira-kira sudah kelihatan pohon kelapa kami didorong ke laut Pak!..Aduh berenang Pak Sampai di daratan kedinginan! Pasrah saja Pak. Siapa saja yang datang mengambil saya, akan saya ikut.” Dengan nada pilu Diyono meneruskan cerita;

“Mulanya saya bekerja sebagai kuli di ladang kelapa sawit di Perak, Pak! Sesudah satu tahun bekerja…gajinya masih tidak dibayar, akhirnya saya boyongan ke Kuala Lumpur dengan beberapa orang teman.”

Cerita Diyono lagi, “Selepas tertipu  oleh kontraktor ladang kelapa sawit… say hampir putus asa Pak! Tapi mengingat ibu saya di desa yang telah menjual sawahnya untuk mengongkosi saya ke Malaysia, saya jagi penasaran. Tapi penasaran saya positif Pak! Saya bersumpah enggak akan pulang ke Jawa kecuali saya sudah bisa membeli sawah baru dan rumah baru untuk ibu saya.” Bicaranya makin lantang dan bersemangat, sinar matanya jernih dan tajam.

“Hampir sebulan saya mundar-mandir di Kuala Lumpur, Pak! Mahu bekerja takut tertipu lagi. Pokoknya saya enggak mahu buru-buru, mahu ‘releks’ dulu kata orang Malaysia, sebelum memutuskan untuk bikin apa seterusnya.”

Dengan nada bersemangat, beliau kemudiannya menyambung cerita, “Waktu mundar-mandir di Kuala Lumpur itu saya perhatikan tiga perkara Pak!”

Ø  Pertama:
“Setiap orang yang bergerak (berjalan) di KL ini ada wang di sakunya. Cuma bedanya ada yang bawa sedikit dan ada yang bawa banyak, Pokoknya setiap orang bawa wang.”

Ø  Kedua:

“Barang yang harganya RM1.00 kalau di KL ini sudah tidak ditawar orang lagi Pak. Pokoknya asal sesuatu barang itu berharga RM1.00 sudah dikira sangat murah – setiap orang termasuk anak kecil bisa membelinya.”

Ø  Ketiga;

“Bawa apa pun ke KL pokoknya bias menerangkan kegunaannya, aka nada yang membeli. Betul enggak Pak?” Diyono berhujah dengan penuh yakin.

“Nah…dari pemerhatian saya itu, sesiapa pun yang bisa
memproduksi barang, dijual dengan harga 50 sen atau RM1.00 akan laris dan dapat hasil yang lumayan Pak!”

Saya hanya mengangguk-angguk dan semakin berminat mendengar ceritanya.

“Jadi saya bikin air soya dan cendol merah saja Pak…kerana saya taunya cuma bikin dua barang itu!”

“Ooh!...Di mana kamu berniaga?’ saya ingin tahu lagi.

“Mula-mula saya menumpang berniaga waktu sore di sebuah warung di Kampung Baru Pak. Jualan hari pertama senggak habis, tapi dapatnya kok RM100, saya semakin yakin lantas warung jualan itu saya tambah dari satu jadi dua, dua jadi tiga. Dalam dua tahun, saya sudah punya 7 warung Pak! Kesemuanya ditunggu orang gajian saya,” Diyono menerangkan secara terperinci riak mukanya penuh kebanggaan.

“Bapak sendiri bisa menghitung berapa wang yang saya dapat setiap bulan. Katakana, setiap satu warung saya dapat RM100 bersih sehari, kalau tujuh berapa Pak sehari?...kan RM700! Sebulan RM21,000, Pak! Lumayan enggak Pak!” Diyono bercerita dengan bersemangat bercampur bangga.

“Percaya enggak Pak…berjualan air di pinggiran jalan saja di Malaysia bisa pakai BMW!”

Begitulah secebis kisah adventuris…Diyono Santoso…datangnya ke Malaysia naik perahu…terjun kepala dulu…enggak pernah lihat wang Malaysia! Setelah tiga atau empat tahun sudah boleh memiliki BMW. Semasa hendak pulang ke Indonesoa…dia telah menjual perniagaanya denganharga RM100,000 kepada pendatang Indonesia lain. Termasuk wang simpanan yang dikumpulkan, dia membawa pulang kira RM400,000 ke Indonesia. Dengan wang itu, beliau membina empayar perniagaan nya di Indonesia  sehingga Berjaya menjadi usahawan yang Berjaya sekarang ini.

Namun bertemu Diyono Santoso dan mendengar secara langsung kisah kejayaanya…saya mulai membuat analisis yang serius. Sekurang-kurangnya ia akan menjadi kayu ukuran pencapaian diri sendiri.

Ironinya sungguhpun saya kagum dengan cerita kejayaan Si Pendatang yang pertama namun ia tidak cukup untuk menjentik hati saya hingga terdorong ke satu tindakan yang jitu. Hati saya cepat merendah dan membuat kesimpulan…itu rezeki dia…

Dari kisah pertama Si Giman (1982) hingga kisah kedua Si Diyono (1986), saya telah bekerja di bank selama lima tahun. Kalau diukur dengan sudut mana sekalipun, saya masih tertinggal jauh daripada apa yang dicapai oleh Giman dan Diyono. Percaya tak?

Setelah lima tahun…sebagai pemegang ijazah kepujian…saya masih seorang pegawai bank, dengan gaji tidak sampai RM3,000 sebulan masih memandu Proton Saga, memiliki sebuah rumah yang masih tercagar di bank – tidak mempunyai apa-apa simpanan dan tidak memiliki sebarang pelaburan. Kemudian kredit Visa Card pun telah saya guna hingga maksimum.

Apa yang saya miliki hanyalah kepompong keselesaan (Confort zone) yang cukup untuk menyelimuti diri saya, isteri dan anak-anak. Gaji 3S – senang, selesa dan selamat. Setiap hari begitulah dan seterusnya masa pun berjalan sehingga lima tahun tanpa sedar!

Sewaktu saya di universiti, saya ada belajar ekonomi, ilmu pengurusan dan sedikit kaedah kuantitatif. Sedikit pun tidak ada yang disumbangkan oleh ilmu-ilmu itu untuk membantu saya melihat dunia dengan terang – seterang penglihatan Diyono. Saya melihat, Diyono juga melihat. Tetapi Diyono nampak, sendakan saya tidak nampak.

“Barulah saya sedar bahawa saya sebenarnya ditimpa satu sindrom…

‘melihat tetapi tidak nampak’.

Mungkin sindrom ini turut menjangkiti ramai lagi orang Melayu – Islam yang lain. Begitu ramai orang Melayu – Islam yang lain. Begitu ramai lagi orang Melayu – Bumiputra yang masih hidup miskin dan melarat, tanpa pekerjaan yang tetap dan tempat tinggal yang sempurna sedangkan pendatang dari Kampuchia boleh tinggal di rumah banglo, memandu kereta Pajero dan Mercedes.

Walhalnya pendatang itu bukanlah menjadi kroni sesiapa atau mendapat anugerah menjadi kroni sesiapa atau mendapat anugerah apa-apa. Mereka hanya menjadi penjaja kain atau aiskrim yang gigih dan istiqamah.

Bezanya mereka ‘melihat dan nampak’ sedangkan kita ‘melihat juga tetapi tidak Nampak apa-apa’.

Walaupun saya ada impian, ya…untuk medirikan sebuah pusat latihan keusahawanan, namun saya belum mempunyai tekad, keberanian dan semangat yang jitu, sejitu pandangan, tekad dan keberanian Diyono Santoso. Hati saya masih dihantui keraguan. Setiap kali terlintas di fikiran untuk berhenti kerja..hati saya berdebar. Jiwa saya takut. Selama lima tahun saya hidup ketakutan, walaupun ada impian!

“Sebab apa saya tidak menjadi seorang jutawan?”

Sebabnya ialah saya tidak berani menghijrahkan diri saya ke jalan yang menuju kekayaan. Saya masih bertahan dalam kepompong keselesaan (confort zone) saya dalam bank meskipun setiap hari saya melihat puluhan orang menambah deposit mereka sehingga ke angka JUTA. Saya masih di takuk lama sambil terkebil-kebil dan menelan ait lilulr melilhat duit orang lain. Yang lebih menghinakan ialah kebanyakan mereka adalah kurang berpelajaran berbanding dengan diri saya. Ya, semuanya berpunca dari,

“Saya memang melihat saya tidak Nampak!”


Jelas sungguh kuman di sana,Terkabur pula gajah di sini,
Masalah timbul sebelum mencuba,Sesal rezeki mengalir sepi.

Jangan Jadi Seorang yang Melihat Tetapi …TIdak Nampak

No comments:

Post a Comment