Thursday, May 12, 2016

JANGAN MALU

Malu adalah naluri fitrah…ia tidak menghalang kejayaan … dalam perniagaan


Mengejar nyamuk semak diredah
Sesat di hutan malu bertanya
Membuai nafsu membawa padah
Malu berusaha gagal namanya

“Mari…mari…ini aiskrim baru…macam-macam ada…aiskrim nenas ada…aiskrim strawberry ada..aiskrim coklat ada…aiskrim kacang ada….oops!”

Dalam tahun 1993, saya berniaga di pasar lambak seluruh Daerah Batang Padang di Perak. Pelbagai produk yang saya proses sendiri, saya jualkan di merata pasar lambak. Antaranya burger, air soya, sup kambing, kek, roti, pastry, mee sup, mee kari dan pelbagai produk makanan lagi.

Ketika berjual kek, roti dan pastry di pasar lambak sebuah gugusan FELDA, saya bertemu dengan seorang guru yang menjual aiskrim colek. Gelagatnya pada hari pertama berniaga amatlah menarik hati.

Kisahnya bermula pada suatu petang di pasar lambak Gunung Besout. Ketika saya sedang sibuk menyusun barang-barang jualan, tiba-tiba saya didatangi oleh seorang wanita. Bukan hendak membeli tetapi hendak bertanya sama ada beliau boleh berniaga di rumah kecil di sebelah saya.

“Dik!Dik! Tempat ni kosong ke? Boleh tak kakak tumpang berniaga?” sapanya agak gugup.

“Kosong Kak…tapi kakak nak berniaga apa?” saya minta penjelasan.

“Kakak jual aiskrim,” terangnya ringkas

“Buat sendiri ke?” saya ingin tahu.

“Ya! Kakak dengan suami kakak,” terang beliau

“Kakak hendak berniaga sekarang?” saya bertanya lagi.

“Ehh..Tak! Tak! Minggu depan…” Jawabnya spontan

“Baiklah Kak, minggu depan kakak tengok di tempat ini ada timba..itu tandanya saya dah ‘booked’ tempat ni untuk kakak…” saya cuba menjadi serorang yang ramah dan baik hati.

Air mukanya Nampak ceria bila niatnya saya tunaikan.

Minggu depannya …jam sudah menunjukkan pukul tiga petang, tetapi ‘kakak Aiskrim’ ini masih belum muncul lagi. Tiba-tiba saya terlihat di hujung pasar, kakak tersebut melambai-lambai saya. Beliau dan suaminya berdiri macam patung menghadap tong aiskrim di bawah pokok.

Saya menggeleng-gelengkan kepala kerana saya tidak boleh meninggalkan perniagaan saya.

Saya melaung kepada mereka, “Hoi Kak!” Macam mana, jadi berniaga…?”

“Jadi! Jadi…!” jawabnya spontan dan suaminya terangguk-angguk.

“Ha…!Apa lagi angkatlah ke sini…” saya mendorong mereka.

Kakak itu dan suaminua pandang memandang dan tingkah laku mereka begitu kekok dan canggung. Akhirnya si suami mengangkat tong aiskrim dengan terkocoh-kocoh menuju kea rah saya.

“mana nak taruh Dik?” tanyanya macam orang cemas.

“Situ…alihkan timba tu,” menunding ke atempat yang telah saya tanda dengan timba.

Dengan secepat kilat, si suami meletakkan tong aiskrim lalu bergegas semula ke bawah pokok tadi. Mereka berdua bercakap-cakap sambil memandang kea rah saya dan tong aiskrim.

Kemudian saya lihat si isteri berjalan perlahan, tersipu-sipu  ke arah saya dan tong aiskrimnya.

Kemudian saya lihat si isteri berjalan perlahan, tersipu-sipu ke arah saya. Saya lihat wajahnya pucat lesi. Dia berdiri di samping tong aiskrimnya dengan kepala tertunduk.

Dia merungut-rungut macam kesal…

“Yang pergi kursus buat aiskrim dia, yang dapat motivasi pun dia… yan gmembuat saya…yang menjual pun saya…”

Saya hanya menjeling melihat gelagatnya sambil tersengih. Saya betul-betulkan susunan kek jualan saya.

Saya lihat kakak itu masih berdiri membatu tanpa suara sepatah pun. Kakinya menguis-nguis tanah. Saya lihat di suami terintai-intai dari jauh.

Saya menegur, “hai Kak…! Apa lagi …start juallah!”

‘Macamana?” jawabnya polos.

“Ai!Juallah ….macam orang jual aiskrim …kakak ada loceng?” saya cuba mententeramkannya.
“Ada!” jawabnya sepatah.

“Mana?” tanya saya.

“Kat…kereta..” jawabnya macam anak kecil.

“Pergi ambillah Kak… tak ada loceng macam mana nak jual aiskrim.” Saya mendesaknya.

Dia memberikan isyarat kepada suaminya minta dihantarkan loceng. Tetapi si suami enggan sebaliknya melambai-lambai minta isterinya mengambilnya sendiri.

Si isteri akhirnya pergi juga sambil merungut…”Konon nak berniaga tapi malunya kalahkan perempuan…”

Setelah mengambil loceng dia berpatah balik dengan langkah yang sangat perlahan, Locengnya  disorokkan dibawah baju kurungnya. Sampai sahaja di sebelah, saya berkata kepadanya,

“Ha…! Kakak apa lagi, pukullah loceng tu…”

“Yalah..!” jawabnya ragu.

Saya melihat kakak itu masih tidak menggoncang locengnya. Masih tunduk dengan kakinya menguis-nguis tanah.

Hati saya berkata, “Ini kalau aku tak tolong, dia akan serik…suami pula teruk macam tu…alamat tak datang lagilah…punah satu harapan! Punahlah sebuah keusahawanan.

“Kak bagi loceng tu pada saya Kak…biar saya tolong…” Dengan cepat dia menyerahkan locengnya kepada saya…

“Saya tolong pukul loceng, sekejap saja ya…”

Saya pun terus memukul loceng di tangan sambil memanggil-manggil dengan lantang, “Mari….mari…..ini aiskrim baru…..macam-macam ada …aiskrim nenas ada..aiskrim strawberi ada…aiskrim coklat ada…aiskrim kacang ada…opps!”

“Ehh, ehh Dik! Sebenarnya ada satu jenis aiskrim saja Dik,” kakak tu menyampuk keras.

“Op! Maaf, satu jenis aiskrim saja…iaitu aiskrim apa Kak?”

“Aiskrim Santan,” jawabnya pendek.

“Ya! Aiskrim santan, aiskrim santan!” saya menukar promosi

Setelah saya memukul loceng tak sampai dua minit, ada dua atu tiga orang kanak-kanak datan membeli. Lucunya melihat kakak menggunakan scoop untuk memasukkan aiskrim ke dalam kon…Menggigil-gigil…Sehingga kanak-kanak itu tercengang melihatnya.

“Ha…Kak…! Cukuplah. Nah ambil loceng ini kakak pula pukul, boleh?” saya macam seorang jurulatih pula.

“Saya cuba…” dia masih gugup

“Ha kak…apa lagi pukullah…” saya medesak.

“Ting!” dia menoleh kiri dan kanan.

“Ting!” dia mendingak melihat jauh

“Ting!” satu, satu bunyinya.

“Kak…kalau begitulah bunyi loceng kakak…yang datang nanti lembu la Kak..lembu FELDA sini semua pakai loceng.

Dia tersenyum tersipu-sipu…

Tiba-tiba dia mencampakkan loceng ke atas tong dan terus lari menghilangkan diri. Saya terkejut hairan. Si suami di kejauhan mengangkat-angkat kepala…kehairanan. Saya lambai si suami untuk menggantikan tempat isterinya…dia menggeleng-gelang kepa;a sambil mengangkat tangan, tak sanggup! Kemudian saya mengalihkan perhatian kepada perniagaan saya pula.

Tiba-tiba…15 minat kemudian Kakak tadi muncul kembali… dengan suara yang sedikit mencungap dia berbisik. “Nasib baik…nasib baik.”

Saya menyampuk, “Hai…baru laku dua biji aiskrim kira nasib baik ke Kak?”

Dia menoleh kepada saya lalu menjelaskan. “Bukan…tadi kakak tengah pukul loceng kakak ternampak kawan, cikgu satu sekolah dengan kakak datang…apa lagi cabut la…!”

Nah! Terbongkar rahsia sekarang bahawa kakak itu seorang guru. Mulai saat itu, saya memanggilnya Cikgu Salmah! Dia menyangka dengan berjualan jauh ke dalam gugusan FELDA tidak akan ada yang kenal. Rupa-rupanya, dunia ini telalu kecil untuk bersembunyi daripada orang yang kita kenal.

Saya terus memotivasikan beliau. Perasaan malu yang terbit sewaktu pertama kali muncul di hadapan orang ramai sebagai penjual adalah perkara semulajadi.

Terimalah kenyataan bahawa denga adanya perasaan itu, kita ini masih seorang manusia yang normal. Sesiapapun yang berada dalam situasi yang sama akan merasai perasaan yang sama.

Ingat kah anda, ketika pertama kali menjadi pembeli dahulu;  kita gugup dan takut. Waktu itu kita masih kecil dan perlu ditemani oleh orang lain untuk membeli sesuatu. Jika pertama kali kita membeli harang pun kita merasa gugup apatah lagi jika kita baru belajar menjual.

Saya hanya sempat ‘berjiran’ dengan Cikgu Salmah untuk beberapa minggu sahaja. Kerana saya membuka tapak berniaga di Pasar Tani di Kuala Lumpur.

Pada satu masa sewaktu berjalan-jalan di Tanjung Malim saya ditegur oleh Cikgu Salmah dan suaminya, wajah mereka sungguh ceria dan meyakinkan.

“Masih pukul loceng lagi cikgu?” saya membuka cerita.

“Hai,,,Rusly, peril Nampak…sebenarnya kita hanya perlu pukul loceng untuk beberapa minggu yan gpertama sahaja. Selepas itu, bila pelanggan dah kenal kita mereka dah ‘cam’ lokasi kita dan mereka dah ‘ngam’ dengan aiskrim kita …mereka akan terus datang cari tanpa perlu mendengar loceng lagi..’

Wah, nampaknya Cikgu Salmah sudah pandai berceramah.

“Masih  malu dengan kawan?” saya menduga Cikgu Salmah.

“Semua orang dah tahu…Cikgu Salmah tauke aiskrim…apa nak malu lagi. Hampir semua sekolah rendah daerah ini memesan aiskrim daripada saya untuk hari kantin masing-masing.”

Nampak sudah banyak  perkembangan yang dilaluinya dengan perniagaan.

“Kalau dulu, orang tertanya-tanya kenapa saya sanggup ke pasar membantu suami menjaja aiskrim. Sekarang mereka tertanya-tanya diri mereka sendiri…kenapa mereka tidak mempunyai sesuatu  untuk diusahakan untuk memakmurkan kehidupan, yalah bila tengok kita dah banyak perubahan…dah tambah rumah baru dan dah tukar kereta baru.” Begitulah kata-kata Cikgu Salmah.

Rupa-rupanya sekarang Cikgu Salmah kerap dijemput memberikan ceramah keusahawanan. Jemputan datang daripada sekolah-sekolah dan perkumpulan wanita . Sudah famouslah sekarang Cikgu Salmah, sudah berani bercakap hendak berhenti kerja.

Setiap petang mereka menjual di tiga lokasi jualan. Satu dijaga oleh suami, satu dijaga oleh anaknya dan satu lagi oleh Cikgu Salmah sendiri. Berkat ketekunan mereka, kini mereka tinggal di sebuah rumah teres dua tingkat dan baru membeli Proton Wira baru….semuanya hasil jualan aiskrim.

Perasaan malu adalah naluri fitrah yang ada pada setiap orang. Ia langsung tidak menghalang kejayaan. Malu kerana menjaja tidaklah sama dengan malu yan gdialami oleh sesetengah pekerjaan.
Sebenarnya kita patut lebih malu jika terpaksa bekerja menjadi GRO atau pelayan bar atau penari di Kelab Dangdut. Tetapi ironinya jika yan gitu pun masih sanggup dibuat oleh orang, ini bermakna perasaan malu itu relatif dan subjektif.

Dengan hasil jualan aiskrim colek, Cikgu Salmah dapat membuka restoran pula. Bisnes aiskrimnya diuruskan oleh suami dan anak-anak. Dia sendiri mengurus restoran. Hasil ketekunan dan disiplin mereka dalam menyimpan wang, mereka Berjaya membeli beberapa keeping tanah dan rumah kedai. Ikut perkiraan saya sekarang, asset dan wang Cikgu Salmah sudah mencapai angka juta. Maka bolehlah dia digelar sebagai jutawan. JUTAWAN SENYAP!











No comments:

Post a Comment